Jumaat, 26 Julai 2019 | 11:46am

6 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang mengaku tidak bersalah rasuah

BUTTERWORTH: Enam lagi penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini, atas 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM20,050.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menerima rasuah berkenaan daripada pengarah sebuah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya.

Keenam-enam tertuduh yang turut berdepan 14 pertuduhan pilihan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Penguat kuasa terbabit ialah Aminorrofee Rais, 44; Muhammad Faisal Salleh, 33; Abu Ubaidah Yacob, 51; Azrul Faiz Md Saad, 36; Mohd Sarwani Mohd Nor, 34; dan Mohd Yusri Jusoh, 48.

Semua tertuduh adalah Pembantu Penguat Kuasa dan Pemeriksa Kereta Motor gred 19 hingga 29 yang bertugas di JPJ Seberang Jaya dan Stesen Penguat Kuasa JPJ di Penaga.

Pada prosiding hari ini, Aminorrofee berdepan lima pertuduhan utama dan pilihan membabitkan rasuah berjumlah RM4,150, Muhammad Faisal (dua pertuduhan utama dan pilihan berjumlah RM1,800), serta Abu Ubaidah (dua pertuduhan utama dan pilihan berjumlah RM2,000).

Azrul Faiz (satu pertuduhan utama dan pilihan berjumlah RM800), Mohd Sarwani (tiga pertuduhan utama dan pilihan berjumlah RM1,150) dan Mohd Yusri (satu pertuduhan utama dan pilihan bernilai RM1,000).

Mengikut pertuduhan utama, semua tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka wang tunai daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport & Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd, Ooi Cheng Keat, 46, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat terbabit (Sam Lian Transport & Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd) yang mungkin melakukan kesalahan bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pelbagai bank di Bukit Mertajam antara 2016 hingga 2018.

Semua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, semua tertuduh didakwa memperoleh untuk diri mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan berupa wang tunai daripada Cheng Keat bagi tujuan membabitkan penguatkuasaan bawah APJ 1987 terhadap lori milik syarikat terbabit.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh, kecuali Abu Ubaidah, diwakili peguam Mohd Hakim Hamran, manakala Abu Ubaidah yang bertugas di JPJ Seberang Jaya diwakili peguam M Hafiz Zainol Abidin.

Nizam kemudian menetapkan jaminan RM8,000 masing-masing terhadap lima tertuduh, dan RM10,000 kepada Aminorrofee, dengan syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri serta S Selvaranjini, dan kes akan disebut semula pada 24 September hadapan.

Enam tertuduh dihadapkan ke mahkamah hari ini adalah kumpulan terakhir daripada 18 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang didakwa secara berperingkat sejak kelmarin.

Sebanyak 117 pertuduhan dibacakan terhadap 18 anggota JPJ Pulau Pinang itu membabitkan keseluruhan nilai suapan berjumlah RM104,550.

Mei lalu, lapan penguat kuasa JPJ dan seorang bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, atas pertuduhan sama.

Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang pada Januari lalu, disyaki terbabit kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya.

ENAM anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dituduh dengan kes rasuah akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam
ENAM anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dituduh dengan kes rasuah akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X