Jumaat, 26 Julai 2019 | 3:49pm

2 UMNO Bahagian fail permohonan warta notis, bantahan awal

KUALA LUMPUR: Permohonan pendakwa raya untuk mewartakan notis bagi memanggil pihak ketiga yang mempunyai kepentingan terhadap wang lebih RM2 juta disita daripada Badan Perhubungan UMNO Pahang, dibenarkan Mahkamah Tinggi hari ini.

Notis itu bertujuan memanggil pihak ketiga hadir ke mahkamah sama ada secara sendiri atau melalui peguam, untuk memberikan tunjuk sebab mengapa harta itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Wang berjumlah RM2,479,300.18 yang disita pihak berkuasa itu adalah berkaitan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Rozana Ali Yusof membenarkan notis itu diwartakan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh.

Sebelum itu, Farah Yasmin memberitahu mahkamah, pihaknya memohon tempoh dua bulan untuk mewartakan notis berkenaan.

Permohonan itu tidak dibantah peguam Mohd Shukri Ahmad Mansor yang mewakili UMNO Pahang yang dinamakan selaku responden.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Oktober untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, UMNO Pekan memfailkan bantahan awal terhadap permohonan Pendakwa Raya untuk mewartakan notis sama terhadap pihak ketiga membabitkan wang RM700,000 yang dirampas daripada pihaknya.

Wang itu disita SPRM tahun lalu berhubung pelakuan suatu kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk M Reza Hassan yang mewakili UMNO Pekan (responden) ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Notis bantahan awal difailkan pada 22 Julai lalu dan pihaknya masih belum menerima maklum balas daripada pihak pendakwa raya,” katanya.

Mohd Nazlan kemudian menetapkan 23 Ogos depan untuk pendengaran notis bantahan awal berkenaan.

Pada masa sama, Naza Quest Auto Sdn Bhd (Naza Quest) mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menyelesaikan kes pelucutan hak wang berjumlah RM269,662 yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Peguam Md Yunos Shariff yang mewakili Naza Quest memberitahu mahkamah, pihaknya cuba menyelesaikan kes itu dan surat representasi sudah dihantar kepada SPRM pada 23 Julai lalu.

Selain itu, Yayasan Tun Rahah yang diwakili peguam Amin Othman memaklumkan sudah menghantar surat bertarikh 9 Julai berhubung tawaran penyelesaian kes terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai memberitahu mahkamah, pihaknya memerlukan masa menjawab surat berkenaan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 23 Ogos ini untuk keputusan representasi dua responden terbabit.

SPRM memfailkan permohonan perlucutan hak sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berita Harian X