Sabtu, 27 Julai 2019 | 11:42am
KOMANDER Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin (empat dari kiri) menunjukkan rokok pelbagai jenama dipercayai belum lulus kastam bernilai RM1.14 juta yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di dua lokasi di Jalan Muara Tuang, Kota Samarahan dan di sebuah rumah di Jalan Kubong, Limbang selepas sidang media di Kuching. - Foto Garret Dawum

Rokok, arak pelbagai jenama bernilai RM1.14 juta dirampas

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak berjaya merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama dipercayai belum lulus kastam bernilai RM1.14 juta dalam serbuan berasingan di dua lokasi di negeri ini semalam.

Serbuan pertama di sebuah premis perniagaan berhampiran bengkel lori di Jalan Muara Tuang, Kota Samarahan pada jam 3 petang, manakala serbuan kedua di Jalan Kubong, Limbang pada jam 12.30 tengahari.

Komander Briged PGA Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin, berkata hasil rampasan operasi khas, Ops Libas itu antara terbesar dijalankan pihaknya setakat ini.

“Hasil pemeriksaan di lokasi pertama menemui 102 kotak mengandungi 5,790 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM970,200.

“Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dipercayai penjaga stor turut ditahan dan kesemua barang rampasan bersama suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PGA Sarawak, di sini hari ini.

Kok Chin berkata, serbuan di lokasi kedua pula menjumpai 147 botol dan empat kotak minuman keras pelbagai jenama serta 102 karton rokok pelbagai jenama.

“Turut dirampas ialah kereta Proton Saga dan kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger disyaki digunakan dalam aktiviti penyeludupan.

“Rampasan berjumlah RM172,274 dan seorang wanita tempatan berusia 48 tahun ditahan seterusnya diserahkan kepada IPD Limbang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Kesemua barang rampasan dipercayai untuk diseludup,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sejak Januari hingga semalam, pihaknya merekodkan 72 kes melalui Ops Libas, Ops Awas dan Ops Batas membabitkan nilai rampasan keseluruhannya mencecah RM16.29 juta.

Berita Harian X