Sabtu, 27 Julai 2019 | 3:16pm

Dua beradik didera bapa

TAIPING: Polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun selepas dipercayai mendera dua anaknya berusia 12 dan 15 tahun di rumah mereka di Simpang, di sini, sejak tiga tahun lalu.

Difahamkan, penderitaan dua beradik itu terbongkar jam 5 petang, Selasa lalu, selepas salah seorang mangsa mendapatkan bantuan jiran dan membuat laporan polis mendakwa dipukul suspek.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa iaitu kakak serta adik lelakinya dipercayai menjadi mangsa dera berdasarkan kesan yang ditemui pada tubuh mangsa.

Katanya, perbuatan suspek terbongkar apabila anak lelakinya itu mendapatkan bantuan jiran selepas dipukul menggunakan rotan hanya disebabkan tidak membeli barangan dapur.

“Suspek dipercayai menyuruh mangsa membeli barang dapur namun mangsa tidak mempunyai wang untuk membeli barang dapur.

“Selepas itu, suspek terus memarahi dan memaki mangsa, suspek juga memukul mangsa menggunakan rotan di bahagian punggung, betis dan lengan,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Osman berkata, dua beradik itu kini berada di wad Hospital Taiping dan pemeriksaan kesihatan dilakukan bagi mengenal pasti kesan penderaan ditemui pada tubuh mangsa.

Beliau berkata, kesan penderaan lama dan baharu jelas kelihatan pada tubuh kanak-kanak lelaki berkenaan manakala kesan penderaan tidak jelas pada tubuh kakaknya.

Katanya, polis sudah menahan suspek dan direman bermula semalam sehingga Isnin ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Berita Harian X