Ahad, 28 Julai 2019 | 12:14pm

'Tanpa berlengah, saya terus berenang ke laut'

MANJUNG: “Selepas dimaklumkan masih ada dua mangsa, saya dan anggota penyelamat pantai daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus berenang ke laut untuk menyelamatkan mereka.”

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Komander Muhammad Rafie Pasqual Abdullah, 31, menceritakan detik beliau bersama APM dan pengunjung lain berusaha menyelamatkan tiga beradik daripada lemas ketika mandi di Pantai Teluk Batik, Lumut, semalam.

Muhammad Rafie Pasqual berkata, beliau bersama isteri dan anak ke pantai itu untuk berkelah, serta berada berhampiran keluarga mangsa dan menara penyelamat pantai APM ketika kejadian.

“Saya sedang bermain pasir dengan anak apabila pekerja sewa pelampung tiba-tiba menjerit bahawa ada orang lemas sebelum pengunjung lain terus ke laut untuk membantu seorang kanak-kanak lelaki terbabit.

“Saya turut ke tempat kanak-kanak itu diselamatkan sebelum terdengar jeritan lagi memaklumkan masih ada dua mangsa lain di laut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, tiga beradik terbabit, Ameer Sirajuddin Jamalulail Ahmad Jamalulaid, 17, dan dua adiknya, Nur Insyirah Diniyyah, 11, serta Ahmad Kamil Mizan Jamalulail, 8, ke pantai berkenaan bersama keluarga untuk berkelah.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa memakai pelampung ketika mandi, namun tiba-tiba terlepas daripada pelampung lalu dipukul ombak sehingga menyebabkan mereka hampir lemas.

Menceritakan lanjut, Muhammad Rafie Pasqual berkata, dua mangsa lagi berada di belakang pelampung dalam keadaan terkapai-kapai pada kedudukan agak jauh dan lebih dalam berbanding kanak-kanak lelaki itu.

“Tanpa berlengah, saya terus berenang ke laut untuk menyelamatkan mereka bersama anggota APM dan bantuan awam lain yang sudah bersedia dengan tali serta bot untuk membantu.

“Saya bersyukur mereka semua selamat, cuma kanak-kanak lelaki itu nampak agak lemah sedikit kerana difahamkan ada asma,” katanya sambil memaklumkan air laut sedang pasang ketika kejadian.

Muhammad Rafie Pasqual berkata, sebagai anggota TLDM, beliau sentiasa bersedia tanpa kira masa atau tempat untuk membantu mereka yang dalam kecemasan.

Berita Harian X