Isnin, 29 Julai 2019 | 11:55am

Lelaki OKU ditahan bersama 31 penagih

JITRA: Seorang lelaki kudung kaki kanan antara 31 penagih yang ditahan ketika menghisap dadah di kawasan dusun buah-buahan berdekatan Kuari Tunjang, dekat sini, semalam.

Lelaki berusia 40-an itu menjadi orang pertama ditahan dalam serbuan jam 9 pagi semalam oleh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu.

Ketua Operasi AADK Kubang Pasu, Mohd Shafiq Ismail, berkata pada mulanya lelaki orang kurang upaya (OKU) itu memberi alasan datang ke kawasan kebun untuk mencari adiknya.

Bagaimanapun katanya, alasan itu tidak masuk akal disebabkan kawasan itu memang menjadi lokasi tumpuan penagih dan lelaki itu dikesan menunggang motosikal seorang diri ke dusun itu.

“Hasil ujian saringan terhadapnya mendapati dia positif dadah jenis morfin dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Shafiq berkata, dalam operasi itu, kesemua 32 penagih berusia 20 hingga 61 tahun itu dipercayai adalah penagih tegar dengan kawasan itu pernah diserbu beberapa kali.

“Kebanyakan penagih yang ditahan datang seorang demi seorang dan memberi alasan masuk ke dusun kononnya untuk mengambil buah.

“Mereka yang ditahan dibawa ke pejabat AADK Kubang Pasu untuk tindakan lanjut malah hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 30 daripada mereka positif dadah opiat dan dua lagi positif methapetamine,” katanya.

Mohd Shafiq berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan) dan kesemua mereka akan direman hari ini.

Lelaki kudung kaki ditahan AADK Kubang Pasu dalam serbuan di dusun buah-buahan berhampiran kebun getah di Tunjang. - Ihsan AADK
Berita Harian X