Isnin, 29 Julai 2019 | 12:51pm
BEKAS Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Hasan Malek kemukakan representasi kedua kes dana 1MDB

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 29 Ogos depan bagi pengurusan kes permohonan kerajaan untuk melucut hak harta dirampas daripada bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek dan tiga entiti lain membabitkan wang berkaitan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Tiga entiti berkenaan adalah UMNO Malaysia, Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Wanita MCA.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas pemohon iaitu Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya sudah menerima afidavit balasan daripada tiga entiti berkenaan.

Pada pengurusan kes itu nanti, Mahkamah Tinggi akan menetapkan tarikh bagi mendengar hujahan UMNO Malaysia, Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Wanita MCA.

Bagi Hassan Malek pula, Mahadi berkata, peguam responden, Muhammad Amin Othman akan memfailkan representasi kedua selepas representasi pertama ditolak pada 26 Julai lalu.

Ketika ditemui selepas prosiding, Mahadi berkata, representasi kedua itu bertujuan mengetahui sama ada Hasan mahu meneruskan untuk mencabar perintah lucut hak atau sebaliknya.

“Pada tarikh itu juga keputusan representasi untuk Hasan akan diketahui,” katanya.

Jumlah wang yang dipohon kerajaan untuk dilucut hak ialah masing-masing berjumlah RM212,965,413.61 bagi UMNO; RM300,000 (Wanita MCA); RM1,254,112.24 (UMNO Sabah) dan RM100,000 (Hassan).

Permohonan melucut hak harta itu dilakukan oleh Pendakwa Raya mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini SPRM memfailkan permohonan perlucutan hak terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Berita Harian X