Selasa, 30 Julai 2019 | 10:50am
Sepasang kekasih dicekup dalam serbuan operasi JAIK sekitar Alor Setar. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Dicekup lepas rindu di hotel

ALOR SETAR: Dua pasangan kekasih ditahan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) kerana disyaki berkhalwat di hotel murah di bandar raya ini, malam tadi.

Dalam serbuan pertama, lelaki berusia 23 tahun hanya bertuala ketika ditahan dengan pasangannya di sebuah hotel bajet di Mergong, di sini, pada jam 11.30 malam.

Pasangan itu memberi alasan terpaksa bermalam di hotel bajet untuk melepaskan rindu memandangkan wanita itu akan pulang ke kampungnya di Baling, hari ini walaupun masing-masing bekerja di tempat sama di Sungai Petani.

Dalam serbuan berasingan, sepasang kekasih dicekup di hotel murah di Jalan Lencong Barat, pada jam 12.45 tengah malam.

Wanita berusia 25 tahun berasal dari Langkawi, menginap di hotel berkenaan sejak Sabtu lalu kerana berkursus, manakala pasangannya berusia 22 tahun masih belajar di sekitar bandar raya ini.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib, berkata kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, kerana disyaki berkhalwat.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Kita dapati operasi ini agak ‘hambar’ kerana kami dimaklumkan pasangan kekasih kini menukar taktik dengan menyewa ikut tempoh waktu untuk mengelak daripada dicekup pihak berkuasa.

“Ada pasangan kekasih dipercayai menyewa bilik hotel pada waktu siang antara satu jam atau dua jam sebelum keluar dengan kadar bayaran sewa serendah RM50 untuk memadu kasih,” katanya ketika ditemui, awal pagi tadi.

Radzi berkata, pihaknya akan melakukan operasi berterusan untuk membanteras kegiatan maksiat di negeri ini.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak mereka terutama gadis yang tidak pulang ke rumah supaya tidak terjebak dengan kegiatan maksiat.

Berita Harian X