Rabu, 31 Julai 2019 | 11:41am

Kes bunuh Zulfarhan, 18 penuntut UPNM dipanggil bela diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk membela diri bagi kes membabitkan kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Selepas meneliti dan menilai secara maksimum keterangan saksi sepanjang kes pendakwaan, mahkamah memerintahkan 18 tertuduh terbabit membela diri,” katanya.

Seorang lagi tertuduh, Muhammad Akmal Akif Alias dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan Zulfarhan.

Terdahulu, Azman memerintahkan tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya bagi mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba pada kejadian 21 Mei 2017.


Muhammad Akmal Akif Alias dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan Zulfarhan. - NSTP/Aizuddin Saad

Enam tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi hingga jam 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang semuanya berusia 23 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Seramai 12 penuntut lain yang semuanya berumur 23 tahun ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri , Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim, manakala antara peguam yang mewakili semua tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dillon, AG Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Mohd Fadly Hashim, Zambri Idrus dan Datuk Hazman Ahmad.

Seramai 29 saksi dipanggil sepanjang perbicaraan bermula 29 Januari tahun lalu.

Galeri awam dipenuhi ahli keluarga semua tertuduh dan keluarga Allahyarham Zulfarhan sejak jam 7.30 pagi.

Zulkarnain meluahkan rasa syukur di luar Mahkamah Sesyen Jenayah 2 selepas mahkamah mengarahkan 18 penuntut UPNM membela diri dalam kes kematian anaknya, Zulfarhan (kanan) dua tahun lalu. - NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X