Rabu, 31 Julai 2019 | 1:39pm
MUHAMMAD Akmal Akif bebas dan ditemani ibunya selepas mahkamah tinggi di sini mengarahkan 18 penuntut UPNM membela diri dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain yang menuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ketika keputusan akhir pendakwaan Zulfarhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/Aizuddin Saad

Muhammad Akmal mahu teruskan pengajian

KUALA LUMPUR: Pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Muhammad Akmal Akif Alias, 23, yang bebas daripada tuduhan mencederakan Zulfarhan Osman Zulkarnain, berhasrat meneruskan pengajiannya selepas digantung sejak dua tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya nak teruskan hasrat untuk melanjutkan pengajian yang tertangguh,” kata Muhammad Akmal yang sebak ketika ditemubual pemberita selepas prosiding.

Ditanya sama ada sudah bertemu bapa Zulfarhan, Muhammad Akmal hanya menjawab ringkas, “belum” sambil menangis.

Melalui keputusan di akhir pendakwaan hari ini, Hakim Datuk Azman Abdullah melepas dan membebaskan Muhammad Akmal daripada tuduhan mencederakan mangsa.

Sejurus selepas keputusan dibacakan Hakim Azman, Muhammad Akmal yang berada bersama yang lain di luar kandang tertuduh, berikutan tertuduh terlalu ramai, menangis teresak-esak.

Hakim sebelum itu memerintahkan 18 tertuduh yang juga pelajar UPNM membela diri dalam kes mencederakan dan bunuh yang menggemparkan negara dua tahun lalu.

Enam tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi hingga jam 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang semuanya berusia 23 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Seramai 12 pelajar lain yang semuanya berumur 23 tahun dan diperintah membela diri ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri , Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Daripada 12 orang itu, mahkamah melepas dan membebaskan tiga tertuduh yang didakwa mencederakan mangsa dalam kejadian pada 21 Mei 2017, tetapi mereka diperintahkan membela diri bagi tuduhan mencederakan Zulfarhan dalam kejadian pada 22 Mei 2017.

Seorang lagi tertuduh dibebaskan daripada tuduhan mencederakan mangsa pada kejadian 22 Mei 2017 tetapi diperintahkan membela diri bagi tuduhan sama dalam kejadian 21 Mei 2017.

Berita Harian X