Rabu, 31 Julai 2019 | 2:23pm
- Foto hiasan

Dua syarikat didenda abai keselamatan hingga pekerja maut

IPOH: Dua syarikat masing-masing didenda RM35,000 dan RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah cuai dan mengabaikan aspek keselamatan hingga mengakibatkan kematian dua pekerja pada Mac dan April lalu.

Petrogaz Engineering Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikat, Azahari Ishak didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengikut Peraturan 5(1)(a)(aa) Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Seksyen 10(c) Akta Kilang dan Jentera 1967.

Bagi pertuduhan pertama, syarikat berkenaan didakwa gagal dengan serta-merta memberitahu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang terdekat dengan cara yang paling cepat bagi kematian seorang pekerjanya yang maut akibat terjatuh dari tingkat empat ke tingkat satu di tapak projek pembinaan di Pulau Pangkor pada 5 April 2019.

Sabit kesalahan, syarikat atau wakilnya boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, syarikat berkenaan, pada tarikh sama selaku kontraktor utama di sebuah tapak projek pembinaan di Pulau Pangkor didakwa mengikut Seksyen 10(c) Akta Kilang dan Jentera 1967 kerana gagal memasang penghadang yang kukuh dan sempurna pada bahagian tepian terbuka di lantai kerja tingkat empat hingga menyebabkan seorang pekerjanya maut akibat terjatuh dari tingkat empat ke tingkat satu.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya JKKP, Hamirul Adli Hashim dilakukan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Norashima memerintahkan syarikat berkenaan membayar denda sebanyak RM5,000 bagi tuduhan pertama dan RM30,000 bagi tuduhan kedua dan turut menetapkan hukuman penjara masing-masing enam dan lapan bulan jika gagal menjelaskan denda yang ditetapkan.

Sebuah lagi syarikat, PMI-Technology Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikat, Wong Voon Shuk, didakwa mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana didapati gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi penggunaan ‘self align rotator’ sehingga menyebabkan berlaku kemalangan maut kepada seorang pekerja di bawah kawalannya pada 13 Mac lalu.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Voon Shuk yang diwakili peguam, Derek Chong diarah membayar denda sebanyak RM30,000 atau penjara lapan bulan oleh mahkamah, jika gagal membayar denda itu, selepas mengaku salah atas kesalahan itu.

Kedua-dua pengarah syarikat membayar denda berkenaan.

Berita Harian X