Rabu, 31 Julai 2019 | 2:58pm
Rosdi (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian dari 1,216 katon rokok pelbagai jenis yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Triboh, Serian ketika sidang media di Kuching, hari ini. - NSTP/Melvin Joni

Tawar RM58,700 elak dikenakan tindakan

SERIAN: Seorang lelaki yang terdesak untuk melepaskan diri selepas menyembunyikan rokok seludup, sanggup menawarkan wang berjumlah RM58,700 kepada anggota polis, semalam.

Suspek berusia 56 tahun itu cuba menawarkan sogokan kepada anggota Batalion 11, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menyerbu premisnya di Kampung Triboh, Serian, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Superintendan Rosdi Inai, berkata serbuan menerusi Ops Libas itu diketuai Asisten Superintendan Mohd Mazlan Mohd Ariff.

Beliau berkata, selepas anggotanya menemui 1,216 karton rokok pelbagai jenis yang disembunyikan di dalam premis miliknya, suspek menawarkan sejumlah wang, sebagai ganjaran supaya tidak diambil tindakan.

“Hasil pemeriksaan, suspek yang dipercayai pemilik premis itu bukan sahaja gagal mengemukakan sebarang dokumen berhubung rokok itu, malah cuba memberi rasuah kepada anggota kami.

“Jumlah yang ditawarkan agak besar tetapi anggota kami tidak tunduk malah meneruskan tindakan terhadap lelaki terbabit,” katanya pada sidang media, hari ini.

Rosdi berkata, suspek kemudiannya ditahan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan rokok yang ditemui itu dirampas untuk diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, rokok itu diseludup dari negara jiran untuk diedarkan di pasaran negeri ini.

Sehubungan itu, Rosdi memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah rentas sempadan supaya segera menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Berita Harian X