Khamis, 1 Ogos 2019 | 12:00am
SEORANG penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah lori berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 406.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dari Tanjung Malim ke Lembah Beringin, Hulu Selangor, hari ini.

Lori rosak undang ajal

HULU SELANGOR: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah lori berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 406.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dari Tanjung Malim ke Lembah Beringin, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Saiful Akmal Jamaludin, 21, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab Rahman, berkata mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dari arah Tanjung Malim dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Mangsa dipercayai melanggar belakang lori rosak yang berada di lorong kecemasan.

“Mangsa dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, kemalangan menyebabkan lori terbabit rosak di bahagian belakang, manakala motosikal milik mangsa remuk di bahagian hadapan.

“Pemandu lori berusia 29 tahun dilaporkan tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X