Khamis, 1 Ogos 2019 | 12:47pm

Didenda RM35,000 akibatkan kematian kontraktor

IPOH: Seorang pengarah syarikat didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan gagal menyediakan aspek keselamatan, kebajikan dan kesihatan yang praktikal hingga mengakibatkan kematian seorang kontraktor ketika membaiki bumbung di premis syarikat berkenaan, di sini, April lalu.

Pengarah syarikat yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Lysaght Galvanized Steel Bhd, Chua Tia Bon, 69, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai majikan didakwa gagal untuk memastikan tahap keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja adalah praktikal dan gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja memeriksa, membaiki dan menukar bumbung hingga mengakibatkan kemalangan maut terhadap Cheong Kim Loong, 55, yang juga seorang kontraktor.

Tia Bon didakwa melakukan kesalahan itu premis syarikat berkenaan di Kawasan Perindustrian Tasek, dekat ini pada 22 April lalu

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 19 akta sama.

Sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Fazira Azita Abdul Rashid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya berkata, dia sedih dengan kejadian yang berlaku di syarikatnya hingga mengakibatkan kematian seorang kontraktor, namun sudah membuat penambahbaikan dalam sistem keselamatan di kilangnya.

Katanya, kejadian yang berlaku itu juga yang pertama dicatatkan dan selepas berlaku, pihaknya juga sudah mengikuti langkah keselamatan yang ditetapkan JKKP dan memohon penalti yang lebih ringan atas pengakuan salah yang dibuat.

Bagaimanapun, Fazira Azita memohon kepada mahkamah supaya memberikan hukuman setimpal kepada syarikat berkenaan kerana syarikat terbabit sudah beroperasi selama lebih 40 tahun, selain menjadi pengajaran dan iktibar kepada syarikat lain supaya dapat menyediakan persekitaran kerja yang lebih selamat.

Berita Harian X