Khamis, 1 Ogos 2019 | 1:50pm
KETUA Menteri, Adly Zahari (tiga dari kanan) bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya (dua dari kanan) menaiki Menara Taming Sari pada Program Melaka Tolak Rasuah Peringkat Negeri Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2019 di Banda Hilir. - Foto Rasul Azli Samad

Pasukan khas masih siasat laporan audit

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih lagi menyiasat pendedahan Laporan Ketua Audit Negara sebelum mengambil tindakan jika ada unsur rasuah dan penyelewengan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata siasatan yang dibuat pasukan khas itu harus dilakukan secara terperinci bagi mengenal pasti jenis masalah termasuk unsur ketirisan, isu tatatertib, masalah sistem dan prosedur, memandangkan laporan audit itu cukup besar.

“Buat masa ini, kami telah berjumpa dengan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dan berbincang mengenai penubuhan pasukan ‘taskforce’ susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini.

“Kita hanya akan mengambil isu membabitkan rasuah. Sebab laporan ini besar dan banyak. Selain pihak jabatan yang turut mengendalikan isu, SPRM akan memfokuskan kes melibatkan unsur jenayah rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Melaka Tolak Rasuah Peringkat Negeri Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2019 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari di Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Hasim Hasan; EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengarah SPRM negeri, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail.

Latheefa berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan terlalu banyak maklumat mengenai siasatan daripada Laporan Ketua Audit Negara kerana kes itu masih dalam siasatan.

“Kita tidak boleh mendedahkan hal berkaitan operasi kerana ia masih dalam siasatan. Apabila selesai, kita akan maklumkan,” katanya.

Ditanya tarikh senarai kedua lucut hak akan dikeluarkan oleh suruhanjaya itu bagi tujuan mendapatkan semula wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disalah guna, Latheefa berkata, pihaknya belum boleh memaklumkannya sekarang.

“Bila tiba masanya. Kita akan maklumkan, akan berikan kepada media. Bukan sekarang,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Latheefa berkata, pihaknya percaya program melalui penyebaran mesej pencegahan rasuah dapat meningkatkan kesedaran masyarakat bagi menangani isu berkenaan.

Beliau turut memuji usaha mesej penyebaran pencegahan rasuah yang dibuat di bot River Cruise, bas Panorama, Menara Taming Sari dan papan digital milik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam usaha mengembalikan kesedaran masyarakat membanteras rasuah.

“Segala inisiatif yang dijalankan oleh SPRM demi rakyat dan negara akan dapat memperbaiki dan melonjak Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia pada masa akan datang.

“Semenjak tahun 2009, kita amat menginginkan untuk Malaysia berada di bawah 50 kelompok negara terbaik di dalam kedudukan CPI yang dikeluarkan. Insya-Allah melalui segala perancangan baharu, SPRM optimis dan berharap impian ini menjadi kenyataan,” katanya.

Berita Harian X