Jumaat, 2 Ogos 2019 | 4:33pm
Lokasi dakwaan penganjuran pesta tarian separuh bogel di sebuah chalet di Pulau Perhentian, Besut.

Pesta tarian separuh bogel di Pulau Perhentian disiasat

KUALA TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sudah diminta menyiasat dakwaan penganjuran pesta tarian separuh bogel di sebuah chalet di Pulau Perhentian, Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata pemilik chalet berkenaan boleh dikenakan tindakan sekiranya terbukti bertanggungjawab menganjurkan pesta itu yang turut tular di laman sosial sejak Ahad lalu.

“Setakat ini kita hanya menerima gambar serta rakaman pesta tarian separuh bogel itu menerusi laman sosial selepas ia ditularkan, tetapi sebelum tindakan diambil, siasatan terperinci perlu dilakukan untuk memastikan kesahihan pesta itu.

“Jika betul dan terbukti ada pesta tarian separuh bogel membabitkan pelancong asing dianjurkan, kita akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik chalet yang menganjurkan program berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas penyebaran video dan gambar seorang wanita menari dalam keadaan separuh bogel bersama seorang lelaki di sebuah chalet di pulau peranginan itu.

Berdasarkan dua video masing-masing berdurasi 30 saat dan sembilan saat yang dimuat naik di laman sosial itu, sekumpulan lelaki dan wanita berpakaian separuh bogel dilihat sedang menari di sebuah chalet di pulau peranginan itu.

Ariffin berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga boleh menarik balik lesen operasi chalet berkenaan sekiranya terbukti aktiviti seumpamanya dianjurkan di situ.

“Kita tidak boleh mengambil tindakan semberono berdasarkan rakaman video yang disebarkan melalui laman sosial dan kita akan siasat secara menyeluruh termasuk mendapatkan kenyataan daripada pemilik chalet yang dikatakan menganjurkan pesta berkenaan,” katanya.

Berita Harian X