Jumaat, 2 Ogos 2019 | 5:29pm

'Sempat pegang panel butang lif'

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, saya sempat pegang panel butang lif ketika lif terhempas,” kata seorang mangsa lif Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi yang terhempas dari tingkat lima, di sini, hari ini.

Ahmad Shahid Imran, 24, yang luka di tangan, berkata majoriti penduduk yang menaiki lif itu baru pulang daripada menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan.

Katanya, lif itu berada di tingkat lima sebelum ‘menjunam’ ke bawah dengan pintunya dalam keadaan terbuka.

“Ramai yang menjerit ketakutan, saya ketika itu pegang panel butang lif dan tidak dapat berfikir apa-apa kerana ia berlaku terlalu pantas.

“Tidak silap, ada sembilan orang ketika kejadian termasuk seorang wanita, seorang kanak-kanak dan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU).

“Daripada jumlah itu, ada yang terseliuh dan patah kaki, satu pengalaman ngeri yang tidak dapat dilupakan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Haliza Hassan, 37, berkata suami dan anaknya dipercayai patah kaki akibat kejadian itu.

“Mohd Riduan Norsani, 35 dan Mohd Haziq Zakwan, 10, sekarang ditempatkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan selanjutnya.

“Saya desak pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk ambil langkah tegas dalam hal ini, jangan tunggu laporan kematian baru nak bertindak,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Idris Abd Samad, 60, berkata kejadian sama turut berlaku di blok itu tahun lalu.

“Kejadian sama tahun lalu tidak membabitkan kematian, cuma cedera ringan.

“Kebiasaan PBT ada selenggara lif di kawasan PPR ini tapi selepas beberapa hari rosak kembali,” katanya.

Dalam kejadian itu, lapan cedera apabila lif yang mereka naiki terhempas dipercayai akibat sistem brek tidak berfungsi, jam 2.30 petang tadi.

Sebelum kejadian, difahamkan 10 penghuni PPR itu menaiki lif berkenaan dari tingkat bawah tanah dan berhenti di tingkat lima apabila seorang daripadanya keluar, sebelum lif itu tiba-tiba gagal berfungsi dan terhempas.

Penduduk menggunakan lif biasa di Blok C PPR Kerinchi. - Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X