Jumaat, 2 Ogos 2019 | 7:41pm

Kerajaan tolak representasi Ibrahim kes lucut hak harta

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menolak permohonan representasi dikemukakan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Pekan untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah bagi tuntutan melucutkan hak harta yang dirampas daripadanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wang berkenaan adalah didakwa berkaitan skandal penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam sebutan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai, memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kerajaan menolak representasi dikemukakan Datuk Ibrahim Awang Ismail untuk membayar 50 peratus daripada jumlah RM100,000 yang dituntut kerajaan.

“Saya difahamkan peguam responden akan mengemukakan representasi baharu bagi penyelesaian,” katanya.

Allan berkata, peguam responden menyatakan bahawa anak guamnya akan menghantar representasi baharu untuk memulangkan keseluruhan RM100,000 bagi pihak kerajaan menarik balik permohonan melucut hak harta itu.

Sementara itu, peguam Nur Shafiqa Balqish Jafri yang mewakili Ibrahim, berkata permohonan pihaknya untuk membatalkan tuntutan kerajaan bagi melucut hak harta itu tetap diteruskan sementara menunggu permohonan representasi diputuskan.

Mohd Nazlan kemudian menetapkan 23 Ogos ini bagi semua pihak memberikan perkembangan terkini mengenai permohonan representasi itu.

Wang disita SPRM itu berhubung pelakuan suatu kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

SPRM memfailkan permohonan perlucutan hak sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, sebelum ini berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Berita Harian X