Isnin, 5 Ogos 2019 | 10:59am
TANDUK rusa yang dirampas daripada suspek yang ditahan di Lapangan Terbang Sibu pada 30 Julai lalu. - Foto Melvin Joni

Lelaki ditahan cuba seludup tanduk rusa

KUCHING: Cubaan seorang lelaki menyeludup masuk sepasang tanduk rusa gagal apabila dia ditahan di Lapangan Terbang Sibu, Selasa lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC), Zolkipli Mohamad Aton, berkata kegiatan suspek terbongkar ketika proses imbasan dijalankan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Suspek kemudiannya ditahan pegawai penguat kuasa SFC Wilayah Sibu dan JKDM.

“Tanduk rusa berkenaan disembunyikan di dalam beg pakaiannya ketika menggunakan penerbangan dari Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Zolkipli berkata, suspek ditahan kerana tidak mempunyai dokumen import atau rasmi untuk tanduk rusa.

“Laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Sibu dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh SFC.

“Saya menyeru orang ramai agar melaporkan sebarang kesalahan terhadap kehidupan liar kepada SFC dengan menghubungi talian 016-8565564/019-8859996 (Kuching); 019-8224566/019-8290994/018-9799778 (Miri); 019-8223449/019-8332737 (Bintulu) dan 019-8190140/019-8894474 (Sibu).

Berita Harian X