Isnin, 5 Ogos 2019 | 9:02pm
KEADAAN mayat reput yang ditemui terdampar di pesisir pantai Kampung Telisai. - Foto ihsan PDRM

Mayat reput ditemui

LAHAD DATU: Riadah sekumpulan remaja di Kampung Telisai, dekat Tungku di sini terbantut apabila mereka menemui satu mayat reput terdampar di pesisir pantai berkenaan, semalam.

Terkejut dengan penemuan itu, kumpulan remaja berkenaan segera pulang ke kampung bagi memaklumkan kepada ketua kampung untuk dapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata pihaknya menerima laporan daripada ketua kampung, Alisto Hussin, 54, yang memaklumkan penemuan berkenaan.

Katanya, berdasarkan laporan itu, sepasukan polis dikerah ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan membawa keluar mayat berkenaan.

“Setakat ini, identiti sebenar mayat belum dapat dikenalpasti berikutan keadaannya yang sudah reput.

“Lokasi penemuan terletak di pesisir pantai dan tidak berpenghuni manakala pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan ditemui pada mayat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasri berkata mayat itu dipercayai seorang lelaki, namun usia mangsa belum dapat dikenalpasti setakat ini,” katanya.

Katanya, mayat sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat.

Sehubungan itu, Nasri meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu siasatan dalam kes yang setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Berita Harian X