Selasa, 6 Ogos 2019 | 5:41pm
Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Singapura.
Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Singapura.

Rakyat Malaysia ditahan cuba seludup keluar warga Bangladesh

SINGAPURA: Dua rakyat Malaysia ditahan kerana cuba menyeludup seorang lelaki warga Bangladesh keluar dari Singapura, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Dalam laman sesawangnya, ICA berkata, pegawai agensi itu menahan sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Malaysia yang ingin meninggalkan republik berkenaan untuk diperiksa di Pusat Pemeriksaan Woodlands kira-kira jam 8.20 malam tadi.

Kereta itu dipandu seorang wanita warga Malaysia berumur 28 tahun dengan ditemani seorang penumpang wanita warga Malaysia berusia 33 tahun.

Ketika pemeriksaan, ICA berkata, pegawainya menemui lelaki berkenaan bersembunyi dalam but kereta sebelum menahan ketiga-tiganya.

“Penumpang tidak sah itu tidak memiliki dokumen perjalanan. Dia kemudian dikenal pasti sebagai warga Bangladesh berusia 31 tahun dan siasatan masih diteruskan,” kata ICA.

Singapura memandang serius percubaan masuk atau keluar dari republik itu secara tidak sah.

Mengikut Akta Imigresen (Cap 133), hukuman kerana memasuki negara itu secara tidak sah adalah penjara sehingga enam bulan dan minimum tiga sebatan rotan, manakala hukuman keluar dari negara itu secara tidak sah adalah denda sehingga $1,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan membabitkan diri dalam membawa pendatang tanpa izin keluar dari Singapura, pesalah berdepan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan minimum tiga sebatan rotan.

ICA menegaskan kenderaan yang digunakan dalam kesalahan itu boleh dilucuthakkan. – BERNAMA

Berita Harian X