Selasa, 6 Ogos 2019 | 5:57pm

Polis maut dilanggar dari belakang

SEPANG: Seorang anggota polis bantuan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) maut apabila motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta, berhampiran KLIA pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Salleh Abd Rahim, 32, disahkan meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah, berkata siasatan awal mendapati, motosikal ditunggang mangsa dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta.

“Akibat rempuhan itu, motosikal mangsa terbabas ke kanan jalan dan melanggar penghadang besi.

“Mangsa mengalami cedera parah sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital berkenaan.

Zulkifli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X