Selasa, 6 Ogos 2019 | 6:24pm

Pasangan muda dicekup 'berkasih' dalam kereta

MARANG: Seorang remaja perempuan diperintah Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini ditahan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor selama enam bulan selepas dicekup dalam keadaan mengaibkan bersama kekasihnya dalam sebuah kereta.

Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 18 tahun mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Pasangannya berusia 21 tahun yang juga penuntut sebuah institut latihan dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau lapan bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka ditahan di dalam sebuah kereta di tepi jalan di Bukit Payong, di sini, jam 1.50 pagi pada 9 Mac lalu.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa daerah menerima tangkapan daripada anggota Balai Polis Bukit Payong kira-kira jam 2.30 pagi pada 9 Mac lalu.

Polis yang melakukan rondaan cegah jenayah menemui sebuah kereta yang berhenti di tepi jalan Bukit Payong, di sini dengan lampu depan dan belakang ditutup.

Ketika menyuluh kenderaan berkenaan, terdapat seorang lelaki memakai baju-T dengan keadaan tali pinggang dan zip seluar terbuka berada di bahagian pemandu dengan kerusi dibaringkan.

Pada masa sama, seorang wanita tidak bertudung berada di tempat duduk penumpang hadapan dalam keadaan kerusi terbaring sedang membetulkan jubah yang dipakai sementara seluar dalam berada di tempat letak kaki.

Ketika kejadian, ada seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak saudara tertuduh wanita sedang tidur di kerusi belakang dan hasil pemeriksaan mendapati mereka bukan suami isteri yang sah.

Berita Harian X