Selasa, 6 Ogos 2019 | 8:26pm

Kehilangan Nora Anne: Jangan sebar, kongsi berita tidak benar - PDRM

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan tidak menyebar atau kongsi sebarang berita tidak benar mengenai kehilangan remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, di The Dusun, Pantai, dekat Seremban, sejak kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata ia bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa, selain mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan usaha pencarian oleh pihak berkuasa.

“Setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.

“Ketua Polis Negeri Sembilan akan mengadakan sidang media setiap hari bagi melaporkan perkembangan terkini mengenai operasi dijalankan agar tidak timbul sebarang spekulasi yang boleh membangkitkan kegusaran awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya mempertingkatkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sejak remaja berusia 15 tahun itu dilaporkan hilang.

Beliau berkata, usaha pencarian yang memasuki hari ketiga ini dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

“Pada masa sama, penduduk setempat turut menggembleng usaha mencari remaja berkenaan,” katanya.

Nora Anne dilaporkan hilang dari Resort The Dusun Pantai Hill seluas 1.215 hektar ketika bercuti bersama ibu bapa dan dua adik-beradiknya.

Lima beranak itu tiba di resort itu pada Sabtu lalu dan kehilangan mangsa yang bermasalah lembam, disedari ahli keluarganya pada jam 8 pagi keesokannya.

Nora Anne Quoirin. - Foto ihsan PDRM
Nora Anne Quoirin. - Foto ihsan PDRM

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X