Selasa, 6 Ogos 2019 | 8:35pm
MANGSA, Amirul Ashraff Md Azhar.
MANGSA, Amirul Ashraff Md Azhar.

Penuntut Malaysia maut di Sydney

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut Malaysia meninggal dunia dipercayai terjatuh dari pangsapuri didiaminya di Sydney, Australia, pagi tadi.

Mangsa, Amirul Ashraff Md Azhar, 22, berasal dari Taiping, Perak adalah penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di University Technology Of Sydney.

Bapanya, Md Azhar Hasbullah, 48, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4 petang tadi.

“Saya dihubungi pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Australia pada 4 petang hari ini, setakat ini saya dimaklumkan anak saya terjatuh dari pangsapurinya yang terletak kira-kira lima kilometer dari universiti.

“Sehingga kini saya menunggu maklumat lanjut dari MARA memandangkan dia adalah pelajar tajaan MARA,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Azhar berkata, sebelum ini anaknya ada menghubunginya memaklumkan dia gagal lima subjek dan perlu membuat rayuan kepada MARA.

“Dia (Amirul Ashraff) sudah mengemukakan rayuan kepada MARA, namun saya merasakan dia tertekan. Apapun, saya kini sedang menunggu maklumat lanjut daripada pegawai di sana.

“Dia tidak menceritakan masalah lain selain gagal lima subjek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kali terakhir dia menghubungi Amirul Ashraff pada 30 Julai lalu ketika sambutan ulang tahun anaknya itu.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Taiping selepas selesai semua urusan nanti.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X