Selasa, 6 Ogos 2019 | 8:51pm
SUSPEK dan kenderaan yang membawa rokok seludup berjaya ditahan dalam tangkapan di Tanjung Sepat.

Cubaan seludup rokok bernilai lebih suku juta ringgit gagal

KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup rokok bernilai RM256,000 dalam serbuan berasingan di Pekan Tanjung Sepat, Kuala Langat, hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Zulafendy Hassan, berkata dalam operasi bermula jam 6 pagi, dua lelaki tempatan ditahan.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berumur 51 tahun yang menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 21 kotak rokok seludup pelbagai jenama yang ditutup dengan kain hitam bernilai RM130,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tangkapan kedua pula dibuat kira-kira 15 minit kemudian membabitkan seorang lelaki berumur 52 tahun.

“Pemeriksaan pada kenderaan jenis Toyota Estima dipandu lelaki terbabit menjumpai 18 kotak rokok seludup pelbagai jenama dianggar bernilai RM126,000.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Tanjung Sepat untuk tindakan lanjut. Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135C Akta Kastam 1959/63,” katanya.

Berita Harian X