Rabu, 7 Ogos 2019 | 1:26pm

Remaja Ireland hilang, bomba optimis mangsa masih hidup

SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) optimis bahawa remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak Ahad lalu di sebuah resort di Pantai dekat sini, masih hidup.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris, berkata ini berikutan kawasan sekitar resort berkenaan mempunyai banyak sumber air dan mampu memberi tenaga kepada mangsa meneruskan hidup biarpun terputus bekalan makanan untuk tempoh tertentu.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan mangsa akan mencari air dan sumber terdekat adalah di sungai berkenaan.

“Secara logiknya, walaupun empat hari hilang, jika ada sungai peluang untuk hidup itu masih ada.

“Sebab itu, operasi pencarian kita hari ini tertumpu di sepanjang sungai untuk mengesan kemungkinan mangsa berada di kawasan sekitar atau di celah-celah batu,” katanya kepada media di sini, hari ini.

ANGGOTA Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) mencari seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu di sebuah resort, di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Adzlan Sidek

Mohammad berkata, kekuatan anggota bomba turut ditambah hari ini kepada kira-kira 40 orang termasuk bantuan JBPM Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini masih belum ada sebarang petunjuk berhubung kehilangan mangsa.

“Kita sudah membantu operasi sejak hari pertama lagi. Anggota dipecahkan kepada empat kumpulan mengikut sektor pencarian yang sudah ditetapkan termasuk di kawasan hutan.

“Seramai 10 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut dikerahkan untuk operasi menyelam di dasar sungai dan setakat ini, sektor pencarian di kawasan sungai sudah membabitkan sepanjang dua kilometer,” katanya.

Nora Anne sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di sebuah resort di Pantai di sini pada Ahad lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, operasi SAR yang memasuki hari keempat hari ini masih gagal mengesan mangsa.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata usaha mencari remaja yang mempunyai masalah lembam itu berdepan kesukaran kerana jejaknya hanya dapat dikesan 100 meter dari lokasinya hilang.

ANGGOTA Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) mencari seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu di sebuah resort, di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Adzlan Sidek
Berita Harian X