Rabu, 7 Ogos 2019 | 2:11pm
TERTUDUH, Wan Mohamad Farhan Wan Ahmad dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan mengugut cuba untuk membunuh adiknya dengan menggunakan pisau, pada Mei lalu. - Foto Norizuan Shamsuddin

Lelaki ugut bunuh adik dipenjara lapan bulan

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melakukan ugutan jenayah cuba membunuh adiknya menggunakan pisau pada Mei lalu.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood menetapkan keputusan itu selepas tertuduh, Wan Mohamad Farhan Wan Ahmad, 24, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap adiknya, Wan Mohamad Alfateh Wan Ahmad, 22, menggunakan pisau di rumah keluarga mereka di Kampung Tanjung, Kedai Buluh, di sini, pada jam 10.15 pagi 19 Mei lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman dari tarikh ditahan pada 19 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku selepas mangsa menegur tertuduh memukul adik perempuannya berusia 10 tahun di bahagian belakang leher ketika berada di kediaman terbabit.

Kejadian menyebabkan tertuduh mengamuk dan mengambil pisau di dapur sebelum mengugut untuk menikam mangsa.

Bagaimanapun, mangsa sempat melarikan diri ke rumah ibu saudara mereka yang tinggal bersebelahan bagi menyelamatkan diri.

Susulan itu, mangsa membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan diri dan ahli keluarga lain, dan suspek ditahan beberapa jam kemudian.

Berita Harian X