Rabu, 7 Ogos 2019 | 3:18pm

Wanita didenda RM14,000 jual kasut tiruan

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan wanita didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana memiliki 88 pasang kasut tiruan berjenama antarabangsa untuk jualan.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu selepas Lim Sow Fong, 56, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki empat pasang kasut tiruan berjenama Channel, Louis Vuitton (lapan) dan Gucci (76).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis Laju Jaya Enterprise di sebuah pusat beli-belah, di sini, pada jam 2 petang 28 Januari tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(2)(B) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM10,000 bagi setiap barang atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Khotijah Mustapa, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Khotijah memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh kerana itu kesalahan keduanya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan tidak mengetahui barang dalam milikannya itu menggunakan cap dagangan palsu, selain tiada pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal membayarnya bagi pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didenda RM2,500 atau tiga bulan penjara jika gagal membayarnya, dan denda RM10,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayarnya untuk pertuduhan ketiga.

Tertuduh membayar denda terbabit.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP negeri melakukan pemeriksaan di premis tertuduh dan menjumpai 88 pasang kasut tiruan menggunakan jenama Channel, Gucci serta Louis Vuitton, dan tertuduh mengaku kasut terbabit adalah miliknya sebelum pihak berkuasa itu menyita barang berkenaan dan membuat laporan polis.

Berita Harian X