Khamis, 8 Ogos 2019 | 11:59am

SAR Nora Anne: Polis akan guna rakaman suara ahli keluarga

SEREMBAN: Polis akan menggunakan strategi rakaman suara keluarga Nora Anne Quoirin, 15, untuk mengesan kedudukan remaja warga Ireland itu yang hilang sejak Ahad lalu ketika menginap di sebuah resort di Pantai, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata cadangan itu adalah atas arahan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Mansor.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba menggunakan kaedah itu, hari ini, namun ketika ini masih berbincang dengan keluarga mangsa bagi mendapatkan persetujuan merakamkan suara.

“Kita yakin rakaman suara itu dapat membantu mengesan mangsa. Justeru, kita akan cuba mendapatkan rakaman suara ahli keluarga paling rapat dengannya.

“Jika mangsa lebih rapat dengan ibu, kita akan menggunakan suara ibunya, begitu juga dengan ahli keluarga lain.

“Selain itu, kita akan menggunakan nama panggilan untuk memanggil mangsa menggunakan pembesar suara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat berhampiran lokasi kejadian, di sini, hari ini.


PASUKAN operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada sesi taklimat susulan seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu di sebuah resort di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Iqman Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Mohd Nor Marzukee berkata, setiap anggota terbabit operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu juga akan menjerit nama mangsa ketika berusaha mengesan remaja berkenaan.

“Dengan cara itu, kita dapat mengejutkannya jika mangsa berada dalam keadaan keletihan,” katanya yang akan menggunakan apa juga cara bagi memastikan remaja berkenaan ditemui.

Mengenai SAR yang masuk hari kelima, beliau berkata, seramai 252 pegawai dan anggota terbabit, selain penggunaan helikopter daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta dron.

Beliau berkata, keluasan kawasan pencarian masih kekal seperti semalam, iaitu enam kilometer dari lokasi remaja itu dilaporkan hilang.

“Kami mengalu-alukan orang ramai yang ada sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk tampil supaya tindakan dapat diambil segera.

“Orang ramai juga diminta membantu dengan apa juga cara, termasuk mengadakan solat hajat bagi yang beragama Islam dan mengikut cara agama masing-masing,” katanya.

KETUA Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar menunjukkan peta operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada sesi taklimat susulan seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu di sebuah resort di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
PASUKAN operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada sesi taklimat susulan seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu di sebuah resort di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Iqman Haqim Rosman
Berita Harian X