Khamis, 8 Ogos 2019 | 2:39pm
Saksi, bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hadir pada perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Saya berbohong untuk melindungi Najib - Ahmad Husni

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengaku berbohong kepada media dan orang awam berhubung kenyataannya dalam akhbar tempatan bahawa peletakan jawatan beliau tiada kaitan dengan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bekas Menteri Kewangan II berkenaan yang memberikan keterangan selaku saksi ke-56 pendakwaan pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, berkata tindakannya berbohong adalah bagi melindungi dan atas rasa hormat terhadap Najib pada ketika itu.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berhubung kenyataan media dibuatnya ketika menjadi Ahli Parlimen Tambun pada waktu itu.

Terdahulu, Ahmad Husni dalam keterangannya pada hari ke-50 perbicaraan berkata, dalam kenyataan media itu, beliau menyatakan peletakan jawatannya berikutan Najib mahu memindahkannya ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ahmad Husni berkata, beliau mengetahui dipindahkan ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) melalui akhbar ketika berada dalam satu mesyuarat.

“Selepas itu, saya pergi jumpa Najib dan beliau menyatakan saya dipindahkan ke KPKT.

“Saya cakap kepada Najib, daripada pindahkan saya, baik turunkan saya... kemudian saya pulang ke pejabat.

“Najib telefon saya dan tanya adakah saya turun (letak jawatan secara sukarela)... saya cakap ya,” katanya.

Berita Harian X