Jumaat, 9 Ogos 2019 | 6:42pm
PEGUAM Mohd Haniff Khatri Abdulla (kanan) ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Saddam Yusoff

Mahkamah Koroner benarkan Peguam Negara berhujah

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner hari ini membenarkan Peguam Kanan Persekutuan berhujah dalam pendengaran permohonan perintah komital kepada Peguam Negara, Tommy Thomas, yang difailkan keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, pada 16 Julai lalu.

Bagaimanapun, Koroner Rofiah Mohamad, berkata Peguam Kanan Persekutuan hanya boleh berhujah dari segi undang-undang membabitkan permohonan yang akan didengar secara ‘opposed ex-parte’ itu.

Pada masa sama, Rofiah berkata, mahkamah tidak akan merujuk dua afidavit oleh Peguam Negara dan pegawai pengendali terdahulu, Hamdan Hamzah, yang difailkan sebelum ini.

“Peguam Kanan Persekutuan boleh membantu mahkamah berhujah berkenaan isu dan undang-undang.

“Peguam Kanan Persekutuan boleh menunjukkan kepada mahkamah kenapa kebenaran tidak harus dibenarkan berdasarkan kepada kertas kuasa,” katanya.

Rofiah kemudian menetapkan 21 Ogos ini sebagai tarikh pendengaran permohonan perintah komital itu.

Terdahulu, ketika berhujah, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy, yang mewakili Peguam Negara, perintah komital adalah serius berikutan antara hukuman yang boleh dikenakan terhadap perbuatan menghina mahkamah (contempt) adalah penjara.

Justeru, katanya, mahkamah perlu berhati-hati.

Bagaimanapun, peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla, berkata pihak keluarga Muhammad Adib bukan mahu meminta Tommy dipenjarakan sebaliknya mahu menuntut supaya Peguam Negara membuat permohonan maaf kepada mahkamah dan keluarga mangsa.

Sementara itu, ketika di luar mahkamah, Mohd Haniff berkata, ada kenyataan yang dikatakan dibuat oleh Peguam Negara membabitkan peguam Syazlin Mansor yang sebelum ini mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Dalam kenyataan itu, ada beberapa alasan diberikan olehnya (Peguam Negara), bahawa tindakannya (Syazlin) dalam prosiding itu bertentangan dengan pendirian Peguam Negara. Kenyataan itu boleh menjadi penghinaan kepada mahkamah.

“Dalam prosiding inkues, tiada sesiapa berhak mempunyai pendirian sehingga inkues selesai. Anda tidak boleh mempunyai pendirian dan pada masa sama meminta mahkamah membuat keputusan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Haniff mengulangi kenyataan bahawa keluarga Adib cuba meminta Tommy sebagai Peguam Negara meminta maaf kepada mahkamah dan keluarga mangsa dan memberi akujanji bahawa perkara seperti itu tidak akan berulang, selain kedaulatan undang-undang perlu dihormati.

“Kita mahu semua sistem pentadbiran negara, Parlimen, kehakiman, guaman, jabatan awam, mematuhi kedaulatan undang-undang, itu saja. Ia tidak berkait langsung dengan keputusan inkues kelak,” katanya.

Pada 16 Julai lalu, bapa Muhammad Adib, anggota bomba yang maut dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu, Mohd Kassim Abdul Hamid, memfailkan permohonan perintah komital kepada Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Berita Harian X