Sabtu, 10 Ogos 2019 | 1:13am

Ribut, hujan lebat landa tiga negeri di utara Semenanjung

GEORGETOWN: Hujan lebat dan angin kencang membadai beberapa tempat di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah malam ini, mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang, dan kejadian bumbung diterbangkan angin, selain kerosakan fizikal terhadap kemudahan awam dan menjejaskan lalu lintas, dilaporkan.

Ia dipercayai tempias daripada taufan Lekima yang melanda Taiwan dan beberapa bahagian di wilayah China.

Susulan itu, amaran turut dikeluarkan kepada penduduk di sepanjang delta Sungai Yangtze, termasuk Shanghai.

Di Pulau Pinang, angin yang bertiup kencang bermula kira-kira pukul 10.00 malam diikuti hujan lebat di seluruh negeri menyebabkan kes pokok tumbang merentangi jalan raya dilaporkan di beberapa lokasi di George Town, Seberang Perai dan Balik Pulau, sehingga ada yang menghempap kenderaan dan ada juga yang menghalang lalu lintas.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, berkata setakat ini lima orang dilaporkan cedera dan dihantar ke hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

“Kesemua mereka adalah penduduk di kawasan Bagan, berikutan bumbung rumah serta gerai tempat mereka berniaga diterbangkan ribut dan terkena mereka.

Mereka mengalami kecederaan luka di beberapa bahagian badan dan kepala,” katanya di sini malam ini.

Sementara itu seorang jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang ketika dihubungi, berkata setakat ini tiada kemalangan jiwa dalam kejadian ribut berkenaan.

JBPM Pulau Pinang turut menerima laporan kejadian pokok tumbang sekitar jalan Paya Keladi, Kepala Batas, Lahar Yooi, Pokok Sena, Tasek Gelugor, Penaga, Bertam dan Kepala Batas di bahagian Seberang Perai, manakala di bahagian pulau pula membabitkan Persiaran Gurney, Tanjung Bungah, Jalan Baharu Balik Pulau, Batu Feringghi dan Bayan Lepas.

Jurucakap Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memaklumkan pihaknya sudah mengaktifkan Pasukan Pengurusan Krisis dan Respon Team MPSP bagi membantu kawasan yang terbabit dengan kejadian ribut.

Di Langkawi, enam lokasi di pulau peranginan ini dibadai ribut dalam kejadian yang bermula lewat petang tadi.

GERAI makanan di pasaraya Yawata rosak teruk akibat ribut dan angin kencang. - Foto ihsan pembaca

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Langkawi, Ahmad Shahfikri Darus, berkata lokasi itu ialah Kedawang, Bohor, Padang MatSirat, Ayer Hangat, Kuah dan Ulu Melaka.

“Hujan lebat berserta angin yang kencang melanda kawasan itu kira-kira pukul 8.00 malam menyebabkan beberapa buah rumah dan kenderaan telah ditimpa pokok. Di jalan utama pula terdapat pokok yang tumbang dan menghalang lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Angin kencang dan hujan lebat menyebabkan suasana di Jalan Pantai Chenang menjadi kelam kabut apabila bumbung zink diterbangkan, berselerak dan menghempap kerusi dan meja yang diletakkan di luar deretan gerai.

Seorang peniaga gerai makanan di tapak 'food truck', Abdul Rashid Yahya, 43, berkata ketika itu terdapat lebih 10 pelanggan yang sedang menikmati selera di kedainya itu.

“Ribut menerbangkan kerusi meja, pelanggan lari masuk ke dalam kedai menyelamatkan diri. Saya kemudian minta anak Muhammad Izuwan, 11, laungkan azan, sebaik dilaungkan tiba-tiba ribut berhenti,” katanya.

Di Kangar, Perlis, hujan lebat disertai angin kencang melanda seluruh negeri hampir sejam bermula kira-kira pukul 8 malam tadi, mengakibatkan banyak bangunan, premis kediaman dan perniagaan khemah-khemah perniagaan rosak.

Beberapa kejadian pokok tumbang serta kabel elektrik melintang di tengah jalan raya di samping kemalangan kecil turut dilaporkan berlaku.

Tinjauan Bernama mendapati gerai-gerai dan khemah di Dataran 350 di Kangar yang didirikan untuk peniaga sempena Hari Raya Haji musnah dipukul angin kuat, dan sehingga pukul 10 malam ini hujan lebat yang disertai angin kuat masih berlaku di bandar Kangar.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan malam tadi, berkata ribut petir sehingga jam 11 malam tadi, melanda Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan beberapa bahagian di utara Perak seperti Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak serta Kuala Kangsar.

ANGGOTA bomba memotong pokok yang tumbang dalam kejadian ribut di Jalan pantai Tengah, Langkawi. - Foto BERNAMA

KEADAAN kenderaan MPV yang dihempap pokok dalam kejadian ribut di Jalan Sungai Baru Tengah, Alor Setar, malam tadi. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X