Sabtu, 10 Ogos 2019 | 1:21am
KEADAAN kenderaan MPV yang dihempap pokok dalam kejadian ribut di Jalan Sungai Baru Tengah, Alor Setar, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

8 sekeluarga nyaris maut kenderaan dihempap pokok

ALOR SETAR: Lapan sekeluarga nyaris maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka dihempap pokok dalam kejadian ribut di Jalan Sungai Baru Tengah, di sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata dalam kejadian sekitar 8.40 malam itu, dua mangsa ditemui tersepit ketika pihaknya tiba di lokasi kejadian.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan jam 8.44 malam membabitkan sebuah MPV jenis Maxus dihempap pokok.


KEADAAN kenderaan MPV yang dihempap pokok dalam kejadian ribut di Jalan Sungai Baru Tengah, Alor Setar, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

“Setibanya di lokasi kejadian pada jam 9 malam didapati ada dua mangsa tersepit dan tindakan segera dilakukan dengan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, semua mangsa berusia empat tahun hingga 48 tahun itu kemudian di bawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Mohamadul Ehsan, berkata dalam kejadian ribut di Langkawi, pihaknya menerima maklumat terdapat tiga mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Langkawi bagi menerima rawatan.

Katanya, salah seorang daripada mangsa ialah wanita warga Maghribi, Meryim Zaamoume, 56, manakala dua lagi mangsa masih belum diketahui identitinya.

Berita Harian X