Sabtu, 10 Ogos 2019 | 11:39am
Anggota Bomba menggunakan tali bagi menyelamatkan empat nelayan selepas bot mereka karam akibat melanggar beting pasir di Muara Kuala Dungun, pagi tadi. - Foto Rosli Ilham

Bot dinaiki empat nelayan karam

DUNGUN: Empat nelayan berdepan detik cemas apabila bot yang mereka naiki karam selepas melanggar beting pasir ketika memasuki Muara Kuala Dungun, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, bot kelas A dinaiki Mohd Rawi Mohd, 55, bersama tiga rakannya, Mansor Awang, 62, Muhammad Khairul Hafiz Mansor, 27, dan Muhammad Firdaus Azmi, 21, karam selepas melanggar beting sewaktu dalam perjalanan pulang ke Kuala Dungun.

Bagaimanapun, kesemua mangsa diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kira-kira jam 1.30 pagi.

Menurut pemilik bot terbabit, Mohd Rawi, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Dungun selepas mengambil bot di Kuala Besut.

“Kami bertolak dari Besut kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

“Ketika memasuki muara Kuala Dungun kami dapati ada kapal yang berlabuh dalam perjalanan keluar dari situ.

“Kami bertukar ke satu lagi laluan masuk dan tidak sangka ada beting pasir di laluan terbabit sehingga menyebabkan bot karam,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian dia bersama rakan menjerit bagi meminta bantuan berikutan jarak mereka tidak jauh dari daratan.

“Nasib baik jeritan kami didengari oleh pengunjung yang berada di Medan Ikan Bakar terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian sebelum mereka menghubungi JBPM untuk bantuan.

“Syukur, pasukan JBPM bertindak pantas menyelamatkan kami semua, kalau lambat sudah pasti kami semua akan dihanyutkan ke laut.

Pemilik bot nelayan, Mohd Rawi Mohd, 55 (tengah) yang pertama diselamatkan selepas bot mereka karam akibat melanggar beting pasir di Muara Kuala Dungun, pagi tadi. - - Foto Rosli Ilham

“Saya dan rakan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelamatkan kami terutamanya JBPM serta penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Zaiharis Sandar, berkata sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan jam 12.40 tengah malam.

“Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kami dapati keadaan ombak besar menyebabkan kami terpaksa membatalkan penggunaan bot untuk menyelamatkan mangsa.

“Kami terpaksa turun dengan memakai jaket keselamatan dan berenang menggunakan tali bagi menyelamatkan mangsa dengan kerjasama orang awam yang berada di lokasi.

“Kesemua mangsa diselamatkan dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Berita Harian X