Ahad, 11 Ogos 2019 | 12:57pm

Mangsa guna kayu besbol pukul kereta suspek sebelum dilanggar

SHAH ALAM: Mangsa yang maut akibat perselisihan faham dalam kemalangan kecil di Kilometer 239, Lebuhraya Utara Selatan dekat Kajang, semalam, didapati memukul kereta suspek menggunakan kayu besbol sebelum dilanggar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata mangsa berusia 29 tahun bertindak demikian selepas tidak berpuas hati dengan suspek berusia 40 tahun itu.

Katanya, sebelum mengeluarkan kayu besbol dari keretanya, mangsa serta suspek yang sudah bergaduh berpunca daripada kemalangan kecil, ditenteramkan orang ramai sebelum kedua-duanya masuk ke kereta masing-masing.

“Namun, si mati yang masih tidak berpuas hati mengeluarkan kayu besbol dari keretanya dan memukul bahagian hadapan kereta suspek.

“Suspek yang ada dalam kereta ketika itu terus memandu dalam keadaan tergesa-gesa hingga terlanggar suspek.

“Akibat daripada itu, mangsa tersepit antara kereta suspek dan penghadang jalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Fadzil berkata, suspek dan isteri berusia 36 tahun direman tujuh hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada jam 1.40 tengah hari itu, kemalangan kecil terbabit menyebabkan berlaku perselisihan faham antara mangsa dan lelaki berusia 40 tahun sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian dari sebuah hospital di Nilai pada jam 3.40 petang dengan memaklumkan seorang lelaki meninggal dunia.

ANGGOTA polis membawa suspek dan isteri ke Mahkamah Tinggi Kajang untuk mendapat perintah reman dalam kejadian pergaduhan di Kilometer 239, Lebuhraya Utara Selatan dekat Kajang. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X