Ahad, 11 Ogos 2019 | 4:16pm
KEADAAN rumah yang dibakar oleh seorang remaja lelaki berumur 19 apabila kakaknya tidak mengendahkan permintaan supaya memberi kunci kereta ayah di Kampung Stenggang, Bau. NSTP/Ihsan PDRM

Bakar kereta, rumah gara-gara tidak diberi kunci kereta

BAU: Berang apabila kakak tidak mengendahkan permintaan memberi kunci kereta bapa mereka, seorang remaja lelaki bertindak luar batasan apabila membakar kereta dan rumah mereka dalam kejadian di Kampung Stenggang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, pada awalnya remaja berusia 19 tahun bergaduh dengan kakaknya berusia 22 tahun dan mengugut mahu membakar serta mengebom kereta bapa mereka.

Sumber berkata, suspek kemudiannya keluar rumah sebelum datang semula dengan membawa botol berisi petrol.

BARANGAN yang dirampas dipercayai digunakan oleh seorang remaja lelaki berumur 19 membakar kereta dan rumah di Kampung Stenggang, Bau. NSTP/Ihsan PDRM

“Suspek menyimbah petrol pada kereta Perodua Viva bapa mereka termasuk pagar dan dinding rumah sebelum membakarnya menggunakan pemetik api.

“Dua lelaki iaitu abang suspek dan adik ipar kakaknya yang cuba menghalang tindakan itu turut disimbah dengan petrol. Akibatnya, kedua-duanya melecur disambar api,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, abang suspek berusia 26 tahun melecur pada kepala, perut, kaki serta tangan dan dibawa ke Hospital Bau untuk rawatan lanjut.

“Adik ipar kakaknya pula melecur pada kaki kiri dan turut dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

“Kebakaran berjaya dipadamkan oleh jiran menggunakan air paip sebelum kehadiran bomba.

“Suspek melarikan diri menggunakan motosikal selepas melihat penduduk kampung semakin ramai datang membantu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 326 dan 506 Kanun Keseksaan termasuk Seksyen 7 Akta Bahan Letupan.

Berita Harian X