Isnin, 12 Ogos 2019 | 8:52am

Abang tertembak adik sendiri

KENINGAU: Seorang lelaki ditahan selepas menyerah diri kerana dipercayai tertembak adiknya sendiri sehingga terbunuh dalam kejadian di hutan Sabindo Plantation, Ulu Pangas, Apin-Apin, kelmarin.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 3.30 petang itu, suspek berusia 41 tahun tertembak adiknya yang berusia 35 tahun ketika sedang berburu di hutan.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata dua beradik terbabit masuk ke hutan sejak Khamis lalu.

“Dalam kejadian itu, suspek tertembak adiknya menggunakan senapang buatan sendiri jenis bakakuk.

“Selepas kejadian, suspek menghantar mayat mangsa ke Hospital Keningau sebelum bertindak menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ekoran kejadian itu, Shahrudin berkata, suspek kemudian ditangkap dan bakakuk serta peluru yang digunakannya turut dirampas untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek tidak mempunyai lesen senjata api yang sah.

“Beberapa sampel diambil di tempat kejadian manakala pakaian mangsa dan suspek ketika kejadian juga turut diambil untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, siasatan masih diteruskan dan setakat ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X