Isnin, 12 Ogos 2019 | 9:24am
POLIS memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes kemalangan di Kilometer 239, Lebuhraya Utara Selatan dekat Kajang, kelmarin, untuk tampil membuat laporan di balai polis berdekatan.

Saksi kemalangan maut diminta tampil buat laporan

KUALA LUMPUR: Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes kemalangan di Kilometer 239, Lebuhraya Utara Selatan dekat Kajang, kelmarin, untuk tampil membuat laporan di balai polis berdekatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata ketika ini, pihaknya masih dalam proses melengkapkan siasatan dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Kita mengalu-alukan kerjasama orang awam dan saksi kejadian membabitkan siasatan kes ini.

"Polis masih dalam proses siasatan, kita akan memberi perkembangan baharu jika ada," katanya pada BH, hari ini.

Fadzil turut menasihatkan orang awam untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung inti pati dan punca kejadian itu terutama di media sosial.

"Macam-macam versi cerita kejadian itu dimuat naik di media sosial.

"Tidak pasti jangan kongsi kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Semalam, mangsa yang dilaporkan maut akibat perselisihan faham dalam kemalangan kecil di lebuhraya berkenaan, didapati memukul kereta suspek menggunakan kayu besbol sebelum dilanggar.

Fadzil dilaporkan berkata, mangsa berusia 29 tahun bertindak demikian selepas tidak berpuas hati dengan suspek berusia 40 tahun itu.

Katanya, sebelum mengeluarkan kayu besbol dari keretanya, mangsa serta suspek yang sudah bergaduh berpunca daripada kemalangan kecil, ditenteramkan orang ramai sebelum kedua-duanya masuk ke kereta masing-masing.

"Namun, si mati yang masih tidak berpuas hati mengeluarkan kayu besbol dari keretanya dan memukul bahagian hadapan kereta suspek.

"Suspek yang ada dalam kereta ketika itu terus memandu dalam keadaan tergesa-gesa hingga terlanggar suspek.

"Akibat daripada itu, mangsa tersepit antara kereta suspek dan penghadang jalan," katanya.

Suspek dan isteri berusia 36 tahun yang turut berada di lokasi kemalangan direman tujuh hari bermula semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X