Selasa, 13 Ogos 2019 | 4:36pm

Maut bergelut ketika menyamun

LENGGONG: Seorang penyamun bersenjatakan pisau dipercayai penagih dadah maut ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Kampung Lata Kekabu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, suspek berusia 30-an dipercayai bergelut dengan anak pemilik rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata siasatan awal mendapati suspek bersenjatakan pisau memasuki rumah berkenaan yang didiami seorang ibu tunggal berusia 30-an bersama anak lelakinya berusia 16 tahun melalui pintu utama rumah untuk menyamun.

“Suspek dipercayai mengacukan pisau ke arah mangsa sebelum berlaku pergelutan antara suspek dengan anak mangsa.

“Anak lelaki mangsa dipercayai menjatuhkan suspek ke lantai sebelum suspek disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Lenggong,” katanya ketika dihubungi.

Ismail berkata, mayat suspek dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat dan punca kematian masih dalam siasatan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Berita Harian X