Selasa, 13 Ogos 2019 | 7:30pm

Dua suspek ditahan kes tetak warga emas

SABAK BERNAM: Dua lelaki dipercayai suspek pembunuhan seorang warga emas di Batu 2 1/2, Kampung Tebuk Pulai, di sini kelmarin bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon, berkata tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 7 malam membabitkan seorang lelaki berusia 45 tahun.

Katanya, ia disusuli tangkapan suspek kedua, seorang lelaki berusia 37 tahun kira-kira jam 1.10 pagi semalam.

“Penahanan kedua-dua suspek dijangka dapat membantu polis dalam mengenal pasti motif sebenar pembunuhan,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Chee Khoon berkata, kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian pagi kelmarin, P Runkanaikey, 78, maut selepas tidak sempat melarikan diri apabila ditetak sekumpulan lima lelaki dalam kejadian di rumahnya di Batu 2 1/2 Kampung Tebuk Pulai, di sini.

Turut tercedera dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu ialah cucu mangsa yang berusia 22 tahun, N Silamparasan.

Dua minggu sebelum kejadian, Runkanaikey pernah menyuarakan kebimbangannya tinggal seorang diri di rumahnya menyebabkan keluarganya meminta Silamparasan menemani neneknya.

Berita Harian X