Jumaat, 16 Ogos 2019 | 11:26am
Lelaki berusia 33 tahun yang menetak Ketua Polis Daerah Besut direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Besut. - Foto ihsan Polis

Suspek tetak OCPD Besut direman 7 hari

JERTIH: Penganggur yang menetak Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi dengan parang hingga putus ibu jari kanan dan cedera di kepala semalam, direman tujuh hari sehingga Khamis depan.

Lelaki berusia 33 tahun itu direman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Besut, Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam, Mohd Zamri yang baru saja pulang ke rumah, tiba-tiba didatangi suspek berusia 32 tahun yang mengalami masalah mental menaiki kenderaan Perodua Kembara untuk membuat aduan berkaitan tanah.

Mohd Zamri, 55, meminta suspek yang juga jirannya pulang, namun lelaki itu berang dan bertindak mengambil parang dalam kenderaannya sebelum menetak bahagian kepala mangsa sehingga terjatuh.

Pergelutan berlaku sebelum mangsa yang menahan dengan tangan daripada libasan parang suspek terkena ibu jari kanan sehingga putus, sebelum suspek melarikan diri.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Besut oleh isterinya sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, untuk menjalani pembedahan menyambung jari berkenaan.

Susulan kejadian suspek yang tinggal kira-kira 50 meter daripada rumah mangsa ditahan polis di Felda Selasih, di sini, pada jam 4.15 petang semalam.

Berita Harian X