Jumaat, 16 Ogos 2019 | 6:42pm
MAYAT Nora Anne Quoirin yang berada di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), masih belum dituntut ahli keluarganya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Mayat Nora Anne dijangka dituntut Ahad ini

SEREMBAN: Mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, yang kini masih berada di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, dijangka dituntut keluarganya Ahad ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata ketika ini keluarga sedang menguruskan dokumentasi bersama pihak kedutaan untuk membawa pulang mayat remaja berusia 15 tahun itu.

“Proses dokumentasi itu mengambil sedikit masa untuk dilengkapkan dan jika siap, tuntutan paling cepat boleh dibuat esok atau Ahad.

“Jadi saya tidak rasa hari ini sempat (tuntut mayat),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad menafikan laporan AFP yang memetik namanya memaklumkan mayat Nora Anne sudah dituntut hari ini.

Beliau juga menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu kepada mana-mana media.

Dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan semalam, Mohamad memberitahu hanya keluarga dibenarkan menuntut mayat anak mereka bila-bila masa.

Ketika ini keluarga remaja itu sedang membuat persiapan untuk membawa mayat anak mereka pulang ke United Kingdom.

Berita Harian X