Sabtu, 17 Ogos 2019 | 1:27am

Mayat Nora sudah dituntut

SEREMBAN: Mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin sudah dituntut di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, sebentar tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, mengesahkan perkara itu selepas menerima maklumat daripada pihak hospital.

“Saya dimaklumkan pegawai hospital (mayat Nora Anne) dah tuntut. Baru sahaja.

“Difahamkan mayat dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya ketika dihubungi di sini, tadi.

Terdahulu sebuah van berwarna kelabu tiba di pekarangan Jabatan Forensik jam 12.38 tengah malam.

Van itu diiringi oleh beberapa orang dan dipercayai bukan ahli keluarga.

Mereka kemudian membawa turun sebuah keranda ke Jabatan Forensik sebelum membawa keluar semula keranda itu beberapa minit kemudian.


Mayat akan dibawa ke KLIA. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin

Van itu kemudian berlalu pergi jam 12.42 tengah malam.

Tiada ahli keluarga kelihatan ketika proses menuntut mayat itu.

Mayat remaja yang menghidap lembam itu ditemui jam 1.57 tengah hari Selasa lalu, di kawasan berlurah dekat anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort dia dilaporkan hilang 4 Ogos lalu.

Semalam, hasil bedah siasat mengesahkan Nora Anne mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh panjang.

Mayat Nora Anne Quoirin sudah dituntut di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin
Berita Harian X