Sabtu, 17 Ogos 2019 | 12:22pm

Reman lelaki kes selisih faham di lebuh raya disambung

KAJANG: Reman terhadap lelaki yang ditahan berhubung kematian seorang lelaki dalam perselisihan faham di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran persimpangan Southville City, 10 Ogos lalu, disambung lima hari lagi.

Perintah reman sehingga 22 Ogos itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, Nurul Farhana Abdul Hamid.

Bagaimanapun, isterinya yang turut direman selama tujuh hari sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis.

Terdahulu, suspek berusia 40 tahun tiba di mahkamah dengan berpakaian lokap berwarna ungu pada jam 10 pagi dalam keadaan tangan bergari dan diiringi anggota polis.

Isterinya pula tiba kira-kira 38 minit kemudian dengan memakai kemeja T merah dan berskirt biru gelap juga dalam keadaan tangan bergari diiringi dua anggota polis.

Sebelum ini, suspek dan isterinya yang berusia 36 tahun direman tujuh hari bermula 11 Ogos lalu sehingga perintah tahanan reman berakhir hari ini.


Isteri suspek yang ditahan berhubung kematian seorang lelaki dalam perselisihan faham di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran persimpangan Southville City, 10 Ogos lalu, dibebaskan dengan jaminan polis di Mahkamah Bandar Baru Bangi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BH sebelum ini melaporkan mangsa, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre pada hari kejadian.

Kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu berpunca daripada kemalangan kecil antara Syed Muhammad Danial dan suspek yang berlaku selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.

Difahamkan kereta Syed Muhammad Danial terlanggar bahagian belakang kereta suspek menyebabkan berlaku kejar mengejar di antara mereka.

Bagaimanapun, mereka terpaksa memberhentikan kereta masing-masing di tengah lebuh raya berhampiran persimpangan Bandar Baru Bangi susulan kesesakan di laluan itu.


Lokasi kemalangan yang menyebabkan Syed Muhammad Danial Syed Syakir (gambar kecil), 29, yang meninggal dunia selepas dilanggar kereta yang dipandu seorang lelaki di Kilometer KM293.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran susur keluar Bangi, 10 Ogos lalu. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Susulan itu, berlaku pergaduhan antara suspek, namun berjaya dileraikan orang awam dan kedua-dua mereka kembali ke kenderaan masing-masing.

Bagaimanapun, mangsa yang dikatakan tidak berpuas hati keluar dari kenderaannya sebelum menghayun kayu besbol memukul bahagian hadapan dan sisi kanan kereta suspek.

Suspek yang kemudian menekan pedal minyak dalam keadaan tergesa-gesa, namun terlanggar Syed Muhammad Danial.

Kejadian itu menyebabkan Syed Muhammad Danial tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan sebelum dikejarkan ke Nilai Medical Centre oleh orang awam.

Lelaki yang ditahan berhubung kematian seorang lelaki dalam perselisihan faham di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran persimpangan Southville City, 10 Ogos lalu, disambung lima hari lagi di Mahkamah Bandar Baru Bangi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Berita Harian X