Sabtu, 17 Ogos 2019 | 3:09pm
MAYAT remaja warga Yemen dilaporkan lemas ketika cuba merakam swafoto atas jet ski ketika laut bergelora di Pantai Chenang, Langkawi. - Foto Ihsan Pembaca

Padah swafoto atas jet ski ketika laut bergelora

LANGKAWI: Tindakan remaja dari Yemen cuba merakam swafoto (selfie) atas jet ski ketika laut bergelora membawa padah apabila lemas di Pantai Chenang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Al-Shabibi Ibrahim Manueer, 17, dilaporkan bertindak membuka jaket keselamatan dipakainya sebelum terjatuh ke laut dan lemas.

Menurut saksi, sekumpulan operator sukan pantai yang menyedari kejadian itu berusaha memberi bantuan awal sebelum membawa mangsa ke menara penyelamat pantai di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, ketika mengesahkan kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.15 pagi.

“Polis menerima laporan awal daripada seorang pemilik jet ski yang memaklumkan terdapat seorang pelancong asing dikhuatiri lemas di Pantai Chenang.

“Seterusnya, rakan mangsa tampil membuat laporan kejadian menimpa mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada jam 12.21 tengah hari,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Iqbal berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Langkawi (HL).

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HL untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Berita Harian X