Sabtu, 17 Ogos 2019 | 4:14pm
KETUA Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop

Kes Nora Anne: Tiada bedah siasat kali kedua

SEREMBAN: Polis mengesahkan tiada bedah siasat kali kedua yang akan dilakukan terhadap mayat Nora Anne Quoirin oleh mana-mana pihak setakat ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

“Kami tiada maklumat atau dimaklumkan tentang perkara itu (bedah siasat kali kedua),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu dalam laporan Daily Mirror, ibu bapa Nora Anne dipercayai meminta diadakan bedah siasat kali kedua terhadap anak sulung mereka.

Difahamkan ketika ini Maebh Jaseprine Quoirin, 46, dan Sebastian Marie Philipe, 47, sedang berbincang mengenai perkara itu bagi memastikan Pakar Patologi tidak terlepas sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan kematian remaja berusia 15 tahun itu.

Mereka juga dilaporkan meminta bedah siasat kedua itu dilakukan di Britain atau Perancis di mana siasatan polis mengenai kes itu sedang dijalankan.

Nora Anne yang mengalami masalah lembam dilaporkan hilang di sebuah resort di Pantai, di sini, sejak 4 Ogos lalu sebelum dia ditemui selepas 10 hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) diadakan.

Mayat remaja itu ditemui pada Selasa lalu jam 1.57 tengah hari di kawasan berlurah dekat anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort dia dilaporkan hilang.

Sehari kemudian proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian remaja yang mengambil masa kira-kira 10 jam dilakukan oleh Pakar Patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Hasil laporan bedah siasat mendapati remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh panjang selain akibat tekanan berpanjangan.

Kira-kira jam 12.38 tengah malam tadi, mayat Nora Anne dituntut dari Jabatan Forensik dan difahamkan di bawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Berita Harian X