Selasa, 20 Ogos 2019 | 2:00pm
Zawani dan Nur Zahiran diarah membela diri atas tuduhan mengedar dadah tiga tahun lalu, pada prosiding keputusan di akhir pendakwaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. - NSTP/Mikail Ong

Dua rakan menangis diarah bela diri

GEORGETOWN: Seorang wanita menitiskan air mata di kandang tertuduh selepas dia diarahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dua jenis dadah, tiga tahun lalu.

Rakan serumahnya yang turut berdepan pertuduhan dan arahan sama pula menitiskan air mata sejurus dia dibawa keluar dari kandang tertuduh.

Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir mengarahkan Zawani Zulkifli, 33, dan Nur Zahiran Yusoff, 34, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

“Mahkamah mengambil kira keterangan dua saksi penting pendakwaan mengenai pemilikan dadah terbabit dan unsur pembuktian sudah pun diberikan, selain keterangan SP8 bahawa ia (premis) disewakan kepada kedua-dua tertuduh.

“Walaupun saksi dicabar tentang pengecaman tertuduh, saksi cam (tertuduh) secara tegas, selain kunci dan kad akses diperolehi daripada kedua-dua tertuduh serta ada item dalam rumah itu ada kesan DNA (asid deoksiribonukleik) tertuduh.

“Mengenai identiti dadah, peguam bela berhujah bahawa ahli kimia bukan pakar. Dalam kes ini, ahli kimia sudah mengawal keseluruhan bacaan serta tak mencemari atau ganggu gugat analisa (analisis) dan dia boleh dikategorikan sebagai pakar,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Zawani, 33, dan Nur Zahirah, 34, didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 212.7 gram (g) dan monoacetylmorphines (80.2g).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 21-13A, Park View Tower, Jalan Harbour Place, Butterworth, kira-kira jam 4.45 petang, pada 18 Disember 2016.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasinnisa Begam Seeni Mohideen, manakala Zawani diwakili peguam V Parthipan dan Nur Zahirah diwakili peguam Simon Murali.

Akhtar kemudian menetapkan 1 Oktober depan untuk perbicaraan kes pembelaan.

Berita Harian X