Selasa, 20 Ogos 2019 | 5:27pm
MENTERI Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy. NSTP/Hafiz Sohaimi
MENTERI Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy. NSTP/Hafiz Sohaimi

Waytha Moorthy saman Lokman berhubung ucapan fitnah babit kematian Adib

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy memfailkan saman terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, berhubung ucapan berbaur fitnah membabitkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, pada 4 Januari lalu.

Saman fitnah itu difailkan Waytha Moorthy, 53, menteri bertanggungjawab dalam perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial, selaku plaintif menerusi Tetuan Azri, Lee Swee Seng & Co pada 26 April lalu dengan menamakan Lokman, 46, sebagai defendan.

Pihak media memperoleh salinan dokumen itu selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, hari ini, yang turut dihadiri peguam Annou Xavier, mewakili menteri terbabit dan peguam N Logendran bertindak bagi pihak Lokman.

Annou memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 1 November untuk pengurusan kes selanjutnya.

Dalam penyataan tuntutan, Waytha Moorthy, yang juga senator, mendakwa defendan berucap pada perhimpunan bantahan yang dihadiri kira-kira 100 peserta dan menyebabkan ucapannya dimuat naik dalam laman Facebooknya, yang mendapat 55,000 paparan dan dikongsi 1,658 kali setakat 18 April lalu.

Dakwa plaintif, ucapan fitnah itu diterbitkan menerusi dua video yang dimuat naik melalui saluran Youtube KiniTV dan Sinar TV, antaranya bertajuk ‘Beberapa menteri cuba ubah laporan bedah siasat Adib, dakwa Lokman’.

Plaintif mendakwa ucapan fitnah itu turut diterbitkan dalam empat artikel, antaranya bertajuk ‘Lokman dakwa beberapa menteri cuba ubah laporan bedah siasat Adib’ dan ‘Waytha Moorthy antara menteri minta ubah keputusan bedah siasat Adib’, di beberapa portal berita termasuk Malaysia Kini dan Minda Rakyat bertarikh 4 dan 5 Januari lalu.

Dakwanya, kenyataan fitnah itu antara lain bermaksud beliau seorang menteri yang tidak jujur, cuba memanipulasi laporan perubatan berkaitan kematian Muhammad Adib, gagal melaksanakan tugas sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial selain menghasut rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Menteri itu juga mendakwa kenyataan fitnah terbabit adalah tidak benar dan menyebabkan reputasinya sebagai menteri serta senator Dewan Negara terjejas.

Katanya, satu surat tuntutan dikeluarkan pada 11 Mac lalu bagi menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf, namun defendan gagal berbuat demikian.

Oleh itu, plaintif antara lain menuntut ganti rugi am, teladan dan injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada menerbitkan semula ucapan fitnah berkenaan menerusi media cetak serta elektronik.

Lokman, dalam penyata pembelaan difailkan pada 3 Julai lalu, menafikan ucapannya pada perhimpunan itu memfitnah menteri berkenaan dan mendakwa ucapan itu adalah satu komen berpatutan dan dibuat berdasarkan fakta dengan niat untuk kepentingan orang ramai. - BERNAMA

Berita Harian X