Rabu, 21 Ogos 2019 | 12:41pm

Setiausaha koperasi DBKL didakwa rasuah RM2,000

KUALA LUMPUR: Seorang Setiausaha Koperasi Kredit Pekerja-Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Berhad (DBKL) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan meminta dan memperoleh suapan RM2,000, berhubung wang simpanan koperasi milik seorang pekerja DBKL, dua tahun lalu.

M Moorthi, 59, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua tuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut tuduhan pertama, Moorthi didakwa secara rasuah meminta RM2,000 daripada Hussainar Saidali, 61, sebagai dorongan bagi melepaskan kesemua wang simpanan koperasi milik mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Kuli Hindu Sri Sakthi Maha Mariamman, Jalan Robson,Taman Persiaran Desa, di sini, jam 1 tengah hari, 7 Jun 2017.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa memperoleh RM2,000 daripada Hussainar bagi tujuan, di tempat dan waktu sama.

Bagi kesalahan meminta suapan dia dituduh mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Sementara itu, bagi pertuduhan memperoleh suapan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Rashid Sulaiman, menawarkan jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu lapor diri di pejabat SPRM berdekatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam S Narasimhan memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik dengan pihak berkuasa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga negara dengan syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 23 September depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X